
Legasipejuangseragambiru Sac I B Datuk Dr Leong Chee Woh
Senior Asisten Komisioner I (Bersara) Datuk Dr. Leong Chee Woh dilahirkan pada 11 November 1929 di Taiping, Perak. Beliau mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Disember 1950 dan bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Cawangan Khas Bukit Aman.
Datuk Dr. Leong merupakan seorang pegawai polis yang sangat cekal dan berani. Ketokohan beliau terbukti apabila beliau dilantik mengetuai Pasukan Rahsia Cawangan Khas PDRM iaitu Pasukan E3F atau lebih dikenali dengan nama Pasukan F dalam misi membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968-1989 di Semenanjung Malaysia.
Hasil kebijaksanaan Datuk Dr. Leong mengemudi Pasukan F, seramai 48 orang pengganas PKM berjaya dibunuh, 171 lagi berjaya ditahan bersama 1,432 orang tali barut. Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakkan pengganas PKM di Tanah Malaya turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM.
Selain itu, Datuk Dr. Leong juga merupakan individu yang bertanggungjawab memberkas Ketua Malayan People Liberation League Mobile Unit (MPLL) atau dahulunya dikenali sebagai Malayan People's Liberation Union yang membunuh Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong dan 16 anggota Polis dalam insiden pengeboman di Kem Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Pekeliling Kuala Lumpur.
Bagi menghargai jasa dan sifat keberanian Datuk Dr. Leong kepada negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XV, Sultan Muhammad V telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada beliau pada 9 September 2017.
#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#LegasiPejuangSeragamBiru