Kuala Lumpur - 17 Februari 2009. Edisi ke-14 Le Tour de Langkawi 2009 (LTdL 2009) membuka tirainya di Putrajaya pada 9 Februari 2009 dan tamat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 15 Februari 2009, di mana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan penaja dan penganjur utama Le Tour de Langkawi 2009.
Perlumbaan basikal ini merupakan agenda nasional di mana ianya berjaya mengumpulkan badan-badan kerajaan persekutuan, negeri dan daerah serta badan-badan beruniform sambil mempromosikan negara di mata dunia. Dijangka seramai 1.8 bilion penduduk dunia akan menyaksikan Le Tour de Langkawi 2009 yang akan disiarkan oleh 20 buah stesyen televisyen. Seramai lebih kurang 1200 orang pegawai perlumbaan, urusetia kejohanan, pegawai-pegawai dan anggota badan beruniform serta sukarelawan terlibat di Le Tour de Langkawi 2009 dan penggunaan sebanyak 420 buah kenderaan bagi kegunaan sepanjang Le Tour de Langkawi 2009.
LTdL 2009 adalah perlumbaan basikal keempat berprestij di dunia selepas Tour de France, Vuelta d'Espania dan Giro d'Italia. Tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut acara ini masih dikekalkan status 'Hors Classe 2.0' dan diiktirafkan oleh pihak Union Cyclist Internasional (UCI) hanya kepada negara-negara penganjur yang berkredibiliti penganjurannya dan tahap keselamatan berada di tahap maksimun. Semenjak diperkenalkan pada tahun 1996, LTdL 2009 yang telah memasuki edisi ke-14 telah menarik penyertaan seramai 120 orang pelumba yang datang dari 32 buah negara, dari 20 pasukan profesional dari Eropah dan Asia Tenggara. Tiap-tipa pasukan ini akan diwakili oleh 6 orang pelumba yang bertaraf 'Pro Tour Teams' - 3 pasukan, 'Continental Profesional Teams' - 6 pasukan, 'Continental Teams' - 7 dan 'Nasional Teams' - 4 pasukan. 20 pasukan itu akan mengerah kudrat tenaga di 7 peringkat, merentasi Jalan Persekutuan, Negeri dan Bandaran yang berbukit bukau, berliku-liku dan curam serta kawasan persisiran pantai sejauh 1031.7 km.
Perlumbaan berlangsung pada hari pertama iaitu 9 Februari 2009 dimana peserta bermula di Mahkamah Keadilan, Putrajaya dan tamat di Persiaran Senwang 1, Senawang, Negeri Sembilan yang membabitkan perjalanan sejauh 133.8 kilometer. Laluan kedua, peserta meneruskan perjalanan dari Giant Senawang, Senawang ke Dataran Pahlawan,Melaka dengan jarak kayuhan sejauh 160.9 kilometer. Laluan ketiga pada 11 Februari, 2009 bermula dari Dataran Pahlawan, Melaka, melalui Teluk Mas - Pulai - Merlimau - Sg. Rambai - Muar - Bukit pasir - Pagoh - Tangkak - Jasin - Bemban - Ayer Molek dan tamat di Jalan Hang Tuah, Melaka melalui laluan sejauh 186 kilometer. Keesokkan harinya, laluan keempat bermula dari jalan Hang Tuah, Melaka ke Bangi dengan jarak kayuhan sejauh 221 kilometer. Laluan kelima pada 13 Februari 2009 dari The Curve, Petaling Jaya ke Genting Highland sejauh 102 kilometer. Laluan keenam pula bermula dari Jalan Meranti Utama 1, Batang Kali, Shah Alam ke Persiaran Perdagangan, Shah Alam dengan jarak sejauh 147.6 kilometer. Laluan terakhir, Ahad 15 Februari 2009, Kriterium Kuala Lumpur , pelumba akan membuat 12 pusingan dengan melalui Jalan Tun Perak, Jalan Raja Chulan, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tengku Abdul Rahman dan mengakhiri garisan penamatnya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan jarak sejauh 80.4 kilometer.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1996, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memainkan peranan yang besar bagi menetukan kejayaan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi 2009. Ianya bukan saja dari segi menentukan tahap keselamatan serta kelancaran peserta-peserta perlumbaan basikal, peserta-peserta Cavalcade LTdL 2009 dan petugas-petugas terjamin, malahan aspek-aspek keselamatan orang ramai juga dititik beratkan dibahu PDRM. Penugasan yang lain ialah membuat hebahan awal kepada kenderaan dan orang awam, menghubungi kontinjen daerah yang akan dilalui, memastikan konvoi perlumbaan mengikut arah yang dirancang dan mengenal pasti halangan yang merbahaya kepada pelumba dan konvoi. Tugas yang dipertanggungjawabkan dan di amanah ini adalah bagi menentukan keselamatan dan kelancaran serta keselesaan bukan sahaja kepada para pelumba tetapi juga kepada pegawai kejohanan dan penonton yang tetap setia memberi sokongan dan mendapat kepujian dari pihak penganjur.
Polis Diraja Malaysia telah diketuai oleh YDH SAC II Dato' Abd Aziz bin Yusof, Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia selaku Pegawai Pemerintah. YDH Supt. Hamzah bin Ahmad bertindak sebagai Penolong Pegawai Pemerintah dan ASP Kamaruzaman bin Abdullah sebagai Pegawai Pemerintah Medan. Cawangan Trafik telah diketuai oleh ASP Kamaruzaman Abdullah sebagai Command 1 dengan keanggotaan seramai 100 orang. Penugasan pula dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti Command, Lead Car, Lead Cavalcade, Police PRO, Police Cavalcade, Moto Pilot, Moto Hazard, Moto Cavalcade, Tecnical Comminication, Team Mechanics dan Team Luggage. Unit Udara pula seramai 18 orang dan diketuai oleh Supt. Sulaiman bin Hassan, sementara Bahagian Keselamatan (Sekuriti) diketuai oleh ASP Suhailan bin Shaharudin dengan kekuatan seramai 40 orang.
Sepanjang Le Tour de Langkawi 2009, penugasan Polis Diraja Malaysia dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu :-
Kumpulan Pertama
Kumpulan Konvoi Utama ditugaskan mengiringi pelumba-pelumba basikal. Kumpulan ini terdiri daripada 4 buah kenderaan iaitu Command 1, Command 2, Command 3 dan Police Lead Vehicle. Dalam kumpulan ini juga, anggota pilot bermotosikal dibahagikan kepada 3 kumpulan dimana kumpulan pertama dihadapan sekali membuat tugas Clearance. Kumpulan kedua membuat tugas Hazard, bertindak sebagai penunjuk bahaya dan halangan dihadapan. Kumpulan ketiga yang merupakan kumpulan terbesar pula bertindak sebagai kumpulan Escort, iaitu memastikan tiada sebarang kenderaan berada di kiri kanan jalan .
Kumpulan Kedua
Pasukan Keselamatan (Sekuriti) ditubuhkan untuk mengawal keselamatan Zon Teknikal. Selain itu, mereka juga akan memastikan keselamatan peserta serta penonton selamat, melencongkan kenderaan 'Team Car' mengikut laluan yang betul di penamat, menjaga keselamatan pasukan bertanding dan urusetia pertandingan semasa berada di hotel penginapan, menentukan media dan orang kenamaan berada ditempat yang sepatutnya dan memastikan acara yang dijalankan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Kumpulan Ketiga
Pasukan Unit Udara PDRM ditubuhkan dengan tujuan mengawas pergerakan konvoi basikal dan menyalurkan maklumat kepada Command 1. Kumpulan ini juga akan memantau pergerakkan lalulintas dari jarak 10 km ke hadapan, kedudukan konvoi Cavalcade, membawa dan bertindak selaku 'Airbone Repeater' dan juga sebagai 'Relay Station' dengan menara kawalan sekiranya berlaku gangguan perhubungan .
Kumpulan Keempat
Pasukan Bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen/Daerah disepanjang laluan perlumbaan bagi menutup simpang-simpang dan juga membuat tugas jaga aman di tapak permulaan dan penamat. Selain itu turut sama membantu mengawal lalulintas ialah dari lain-lain jabatan seperti Jabatan Bomba & Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Rela dan anggota penguatkuasa perbandaran. Masing-masing dengan penugasan dan tanggungjawab tersendiri tetapi bekerja untuk satu tujuan dibawah satu matlamat menjayakan LTdL 2009.
Cawangan Perhubungan Awam (PRO) Bukit Aman pula membuat liputan dalaman untuk Laman Web PDRM dan Buletin Bukit Aman, sepanjang berlangsungnya perlumbaan dan mengedarkan sebanyak 3000 cenderamata yang dibantu oleh 2 anggota polis trafik wanita kepada orang ramai di 62 hentian seluruh negeri yang terlibat sebagai laluan LTdL 2009. Selain itu, hebahan awal laluan kepada pengguna-pengguna jalanraya, temubual dengan pegawai kanan trafik untuk tips dan nasihat pengguna jalanraya dihebahkan melalui siaran radio 'Diari PDRM' di Klasik Nasional yang keudara setiap hari sabtu jam 1.45 petang.
Juara Le Tour de Langkawi 2009, Keseluruhan (Jersi Kuning) diungguli oleh Jose Serpa Perez dari Diquigiovanni - Androni, Venuezela, Terbaik Asia Keseluruhan Tonton Susanto dari Le Tua, Juara Pecut (Jersi Hijau) Mattia Gavazzi dari Diquigiovanni - Androni, Kategori Polka Dot (Jersi Merah) Jose Serpa Perez dari Diquigiovanni - Androni, Pasukan Terbaik Keseluruhan diungguli oleh Diquigiovanni - Androni dari Vanuezela dengan catatan masa 73' 09:16s dan Asia Keseluruhan, Iran dengan catatan masa 73' 28:20s.

Hari pertama lapur diri di Plaza Tol Rawang...sama-sama membasuh motosikal

Kelas mengendalikan bendera dengan betul dan cara tiupan wisel

Peringkat pertama dari Putrajaya ke Senawang sejauh 133.8 km

Kpl Norita mengedarkan Buletin Bukit Aman kepada orang ramai di Bandar Muar.

Kpl Zuraida memberi 'goodies' dari Cawangan Hal Ehwal Awam Bukit Aman kepada kanak-kanak di pekan Ijok, Kuala Selangor

Kumpulan Pilot, Hazard dan Clearance di garisan penamat di Bandar Baru Bangi.

ASP Suhailan bin Shaharudin memberi taklimat kepada Pasukan Keselamatan (Sekuriti) satelah selesai tugas di Bandar Baru Bangi

Selesai peringkat 5 ...ASP Kamaruzaman Abdullah sebagai Pegawai Pemerintah Medan memberi taklimat ringkas kepada pegawai dan anggota di Genting Highland

Memulakan tugas untuk acara Kriterium Kuala Lumpur

Konvoi Cavalcade melalui pentas utama di Dataran Merdeka Kuala Lumpur

YDH SAC II Dato' Abd Aziz bin Yusof, Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia selaku Pegawai Pemerintah mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas penugasan yang cemerlang, dijalankan oleh pegawai dan anggota yang terlibat.

Y.Bhg Dato' Naim bin Mohamad, merangkap Ketua Pegawai Operasi LTdL 09 mengucapkan ribuan terima kasih di atas komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh PDRM kepada YDH SAC II Dato' Abd Aziz bin Yusof, Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia sambil disaksikan oleh YDH Supt. Hamzah bin Ahmad, Penolong Pegawai Pemerintah (Pegawai Penguatkuasa Trafik Bukit Aman)

Konvoi PDRM selesai tugas dan balik untuk taklimat akhir di Plaza Tol Rawang sambil diketuai oleh Command 1.