Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lawatan Kerja Rasmi Ydh Ketua Polis Negara Ke Ipk Terengganu

Diterbitkan: 10 Jun 2014 3.49 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.50 PM
Kuala Terengganu - 26 September, 2010. YDH Ketua Polis Negara telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Terengganu selama dua hari bermula dari 25 September 2010 hingga ke hari ini..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lawatan-kerja-rasmi-ydh-ketua-polis-negara-ke-ipk-terengganu
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 13:28 MYT

Kuala Terengganu - 26 September 2010. YDH Ketua Polis Negara telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Terengganu selama dua hari bermula dari 25 September 2010 hingga ke hari ini.

Ketibaan YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar dan YBhg. Puan Sri Hajah Suriati bt Mohd Sobri pada 25 September, 2010 disambut oleh Ketua Polis Terengganu, YDH SAC Dato' Mohd Shukri bin Dahlan dan isteri serta Pegawai-pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.

Kemuncak aktiviti lawatan kerja KPN ini adalah taklimat keselamatan oleh YDH SAC Dato' Mohd Shukri bin Dahlan dan penyampaian amanat oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara kepada Pegawai-pegawai Kanan Polis Kontinjen Terengganu pada jam 10.00 malam bertempat di Mes Pegawai Kanan, Puncak Mahligai, Kuala Terengganu, Terengganu.

Antaranya, YDH Tan Sri Haji Ismail menyeru para pegawai untuk bekerja berlandaskan peruntukan undang-undang, sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, mengubah cara kerja ke arah kebaikan bersama dan sentiasa melakukan pemantauan ke atas pegawai bawahan semasa penugasan.

Beliau juga menyampaikan pesanan kepada Polis Terengganu untuk bekerjasama dan mengadakan lebih banyak aktiviti bagi mendapatkan penglibatan dari lain-lain jabatan dan masyarakat dalam menangani masalah jenayah. Ianya bagi menentukan dan memastikan keselamatan serta kemakmuran negara terjamin.

Majlis taklimat tersebut telah berlangsung dalam suasana harmoni dan interaksi pemimpin dan pegawai-pegawai kanan polis terjalin mesra dengan banyak perbincangan berjalan dengan lancar.

Lawatan kerja YDH Ketua Polis Negara diteruskan pada pagi ini dengan meluangkan masa selama 30 minit melawat Konstabel Arizan B Mohamed di Hospital Sultanah Nur Zahirah yang telah mengalami kecederaan akibat dilanggar semasa menjalankan tugas.

YDH Tan Sri Haji Ismail meneruskan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Terengganu sempena Majlis Sillaturrahim sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Terengganu. Beliau dan isteri sempat beramah mesra dengan semua peringkat pegawai kanan dan anggota PDRM yang ingin bertemu rapat dengan beliau.

Sidang Media

Semasa sesi sidang media, YDH Tan Sri Haji Ismail telah menjelaskan tujuan lawatan kali ini diadakan adalah untuk berjumpa dengan semua pegawai polis dan berdialog bersama Ketua Polis Daerah Terengganu bagi berbincang dan mencari pendekatan dan penyelesaian terbaik dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Peluang lawatan ini digunakan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan dan bagaimana pihak PDRM menangani maklumat-maklumat palsu yang diterima. YDH Ketua Polis Negara juga memaklumkan kepada pihak media dan semua pegawai polis bahawa pihak Polis tidak mampu bekerja secara sendirian. Polis memerlukan kerjasama semua pihak dan POLIS SENTIASA BERSAMA RAKYAT.

YDH Tan Sri Haji Ismail juga menyeru semua pihak agar menekankan aspek moral dan nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan harian. Moral dan nilai-nilai murni masyarakat yang dilihat terhakis apabila terkesan sebilangan ahli-ahli masyarakat yang bertindak ganas dan tidak menghormati undang-undang. Pegawai dan anggota polis juga menjadi mangsa seperti kes Konstabel Arizan b Mohamed yang telah dilanggar semasa menjalankan tugas. Namun, perkara tersebut langsung tidak menjejaskan moral dan disiplin anggota PDRM.

Secara keseluruhannya, YDH Tan Sri Haji Ismail berpuas hati di atas kepimpinan Dato' Mohd Shukri bin Dahlan, Ketua Polis Terengganu dalam menangani jenayah dan memastikan jenayah di Terengganu dalam keadaan terkawal.

"Program-program yang telah dilaksanakan oleh PDRM seperti RAKAN COP, aktiviti-aktiviti Community Policing, majlis-majlis dialog dan yang terbaru Facebook Polis Diraja Malaysia adalah usaha-usaha berterusan PDRM dalam mendekatkan jurang dengan masyarakat", menurut YDH Tan Sri Haji Ismail semasa mengulas pertanyaan daripada pihak media. Setakat ini, Facebook Polis Diraja Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan dan merupakan salah satu usaha PDRM untuk mendekati rakyat serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengikut alaf teknologi.

Sebelum mengakhiri sidang media dan lawatan kerja beliau, YDH Tan Sri Haji Ismail, Ketua Polis Negara turut berpesan kepada pihak media untuk tidak mudah percaya dan membuat kenyataan mengenai penemuan 2 kubur di kawasan rumah suspek kes pembunuhan Sosilawati dan beberapa kes orang hilang yang dikaitkan dengan kes tersebut. Pihak polis akan berusaha untuk mencari bukti dan menyiasat apa yang berlaku.

Lawatan Kerja Rasmi Ydh Ketua Polis Negara Ke Ipk Terengganu
YDH Ketua Polis Negara melawat Konst. Arizan B. Mohamed di Hospital Sultanah Nur Zahirah yang terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan tugas.
 

Lawatan Kerja Rasmi Ydh Ketua Polis Negara Ke Ipk Terengganu
YDH Ketua Polis Negara menandatangani Buku Pelawat IPK Terengganu...

Lawatan Kerja Rasmi Ydh Ketua Polis Negara Ke Ipk Terengganu
YDH Ketua Polis Negara bersama YDH Ketua Polis Terengganu di Majlis Hari Raya Aidilfitri di IPK Terengganu...

Lawatan Kerja Rasmi Ydh Ketua Polis Negara Ke Ipk Terengganu
YDH Ketua Polis Negara menyampaikan "duit raya" kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.

Lawatan Kerja Rasmi Ydh Ketua Polis Negara Ke Ipk Terengganu
YDH Ketua Polis Negara Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar  bersama YDH Ketua Polis Terengganu, SAC Dato' Mohd Shukri B Dahlan dan YDH Timbalan Ketua Polis Terengganu Hamzah bin Mohd Jamil.

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 3.49 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.50 PM