
Lawatan Kerja Rasmi Timbalan Kpn Ke Markas Operasi Ppm Wilayah 4
Sandakan, 23 Ogos 2020 - Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani mengadakan lawatan kerja rasmi ke Markas Operasi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4, Sabah, di sini, Jumaat lalu.
Ketibaan beliau bersama isteri, Datin Sri Ir. Zaiton Mohd Isa disambut mesra oleh Komander PPM Wilayah 4, ACP Tuan Ahmad Ariffin bersama Pegawai Pemerintah Markas Operasi, DSP Rusdin Banin dan warga PPM Wilayah 4.
Dato’ Sri Acryl Sani seterusnya mendengar taklimat daripada ACP Tuan Ahmad Ariffin mengenai Kapal PZ 7 dan PZ 14 (KM Berani dan KM Budiman) yang telah diserahkan semula oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 9 Julai yang lalu. Selain itu, Timbalan KPN turut dibawa mengelilingi kapal dan ‘harbour cruise’ di sekitar kawasan Pelabuhan Sandakan.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato' Hazani Ghazali, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, DCP Dato’ Mastor Mohd Ariff, Komander PPM Bukit Aman, SAC Tuan Haji Mohamad Yusof Mamat, Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Ruslan Khalid, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Tuan Azhar Hamin dan para pegawai kanan.
Sumber: Pasukan Polis Marin W4 Sabah