Langgar Akta Perikanan Empat Warga Myanmar Ditahan
Kuala Selangor, 6 Oktober- Seorang tekong dan tiga anak kapal nelayan warga Myanmar ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Kelang dalam satu operasi di perairan Bagan Tengkorak, di sini, malam tadi.
Timbalan Komander PPM Wilayah 1, Supt. Dimin Awang berkata, keempat-empat mereka ditahan kerana didapati melanggar syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia.
Menurut beliau, pasukannya telah memeriksa kapal nelayan terbabit dan mendapati ia berada di jarak yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan.
"Kita (polis) juga dapati kapal nelayan terbabit telah menggunakan tekong dan anak kapal warga asing tanpa mendapat kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.
Kesemua yang ditahan bersama kapal nelayan mereka telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Pelabuhan Klang untuk disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.