Lampu Isyarat Lancarkan Trafik Di Kawasan Pelancongan Di Mel
Melaka,
12 Julai - Masalah kesesakan trafik di kawasan pelancongan di Melaka
dijangka dapat diatasi dengan pemasangan lampu isyarat dan menaik taraf
yang sedia ada yang dijadual minggu depan.
Ketua
Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata pemasangan
lampu isyarat di persimpangan Jalan Merdeka bernilai RM130,300 akan bermula Rabu depan dan dijangka beroperasi 14 Ogos ini.
"Langkah
menaik taraf lampu isyarat simpang empat Taman Malinja akan dilaksana
Isnin depan dan dijangka dapat mengurangkan masa menunggu sebanyak 25
peratus, iaitu daripada 295 saat kepada 220 saat," katanya pada sidang
media, di sini hari ini.
Langkah
menaik taraf lampu isyarat itu akan melancarkan trafik di Lebuh AMJ
dari Muar yang merupakan antara pintu masuk ke Melaka, manakala
pemasangan lampu isyarat di Jalan Merdeka akan melicinkan aliran trafik
di Bandar Hilir yang sering sesak pada hujung minggu.
Ditanya
pemasangan lampu isyarat di Jalan Merdeka akan turut melancarkan trafik
di Jalan Hang Jebat yang menempatkan pasar malam Jonker Walk,
Salehhudin berkata isu kesesakan di kawasan itu melibatkan banyak
faktor.
"Antaranya
tempat letak kereta dan aliran trafik di kawasan itu, bukan letak lampu
isyarat boleh licinkan kesemuanya," kata beliau.
Sementara
itu, Penolong Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Melaka
Bersejarah (Lalu Lintas) Mazlan Mohd Said yang turut hadir, berkata
langkah menaik taraf sistem lampu isyarat di simpang empat Taman Malinja
adalah susulan kejayaan pelaksanaan di simpang empat Plaza Wang serta
Melaka Sentral.
Beliau
berkata sebagai contoh, bilangan kenderaan melepasi persimpangan Plaza
Wang dapat dipertingkat 20 peratus kepada 60,440 buah berbanding 48,269
buah dan masa menunggu dikurangkan kepada 191 saat berbanding 243 saat
sebelum ini.
"Dengan
perlaksanaan di lokasi ketiga di kawasan Lebuh AMJ ini diharap dapat
memberi kesan ketara pada aliran lalu lintas terutama ke laluan bandar
pada hujung minggu atau cuti umum," katanya.
Mazlan
berkata langkah menaik taraf sistem lampu isyarat di ketiga-tiga
persimpangan yang melibatkan kos keseluruhan RM110,000 itu juga akan
dilaksana di Jalan Mufti Haji Khalil berhampiran Masjid Al-Azim jika
keadaan memerlukan.
Sumber : BERNAMA