Kumpulan Samun Tumpas Dua Lelaki Ditahan
Johor
Bharu, 18 Dis - Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan samun di
sekitar bandar raya ini selepas menahan dua lelaki di Bandar Selesa Jaya
di sini dua hari lepas.
Ketua
Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata kedua-dua lelaki
yang berumur 28 dan 30 tahun itu ditahan di rumah mereka kira-kira
pukul 5 pagi.
"Tindakan
dilakukan selepas polis menerima laporan dari seorang wanita yang
menyatakan dia disamun tiga lelaki ketika sedang menunggu bas sekolah
bersama anaknya di hadapan rumah mereka di Taman Skudai Baru kira-kira
pukul 5 pagi pada 19 Okt lepas," katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Beliau
berkata susulan penahanan itu, polis merampas pelbagai barangan yang
dipercayai hasil samun termasuk beg tangan pelbagai jenama, beberapa
rangkai kunci kereta dan rumah, sembilan telefon bimbit, seutas jam
tangan, sebuah komputer riba dan sebuah kamera digital.
Beliau
berkata turut dirampas ialah satu pasport, satu topi wanita berlambang
'Auxiliary Police' serta satu plastik lutsinar mengandungi ketulan dadah
disyaki ganja.
Katanya
berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mereka mengaku terlibat dengan
sekurang-kurangnya tujuh kes samun di sekitar kawasan Nusajaya dan Johor
Baharu Utara sejak tiga bulan lepas.
"Modus
operandi mereka adalah melakukan samun pada waktu pagi ketika mangsa
mahu menghantar anak ke sekolah. Mereka yang bersenjatakan parang akan
meluru ke arah mangsa lalu menarik mangsa masuk ke dalam rumah dan
kemudiannya menyelongkar mencari barangan berharga," katanya.
Beliau
berkata mereka kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut
mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa
senjata api.
Noor
Hashim berkata polis sedang mengesan seorang lagi lelaki yang dikenali
sebagai Ohm a/l Rengasamy yang bernombor kad pengenalan 830814-01-5117
dan beralamat terakhir di No 29, Jalan Berlian 5, Taman Damai Jaya, Kota
Tinggi, bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA