Kumpulan Jenayah Terancang Disyaki Terlibat Rompak Kedai Emas Di Chai Leng Park
George Town, 16 Okt- Polis percaya sekumpulan lelaki yang merompak kedai emas di Medan Kurau 1, Chai Leng Park, dekat sini 29 Sept lepas, turut terlibat dalam beberapa kes rompakan kedai emas di beberapa negeri lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Dato' Zakaria Ahmad berkata siasatan polis mendapati kumpulan itu adalah kumpulan jenayah terancang dan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak dikesan polis.
"Kami sedang bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman untuk mengesan mereka," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Dalam kejadian rompakan pada pukul 11.34 pagi itu, lima lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan dua pistol melarikan 10 dulang barang kemas bernilai lebih RM600,000 dari sebuah kedai emas di Medan Kurau 1, Chai Leng Park.
Terdahulu Zakaria menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang yang baharu ACP Ramli Mohd Noor.
Ramli, 57, yang sebelum ini Ketua JSJK Negeri Sembilan menerima tugas daripada Timbalan KJSJK Pulau Pinang Supt Teh Eng Hin yang memangku jawatan itu.- BERNAMA