
Artikel
Kpn Timbalan Kpn Sertai Hampir 1 500 Pejuang Subuh Dalam Program Gengsubuhmacamjumaatpdrm
Kuala Lumpur, 4 Februari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama timbalannya, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama-sama h...
Kuala Lumpur, 4 Februari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama timbalannya, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama-sama hampir 1,500 jemaah menunaikan solat fardhu Subuh menerusi program #GengSubuhMacamJumaatPDRM di Masjid Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Solat fardhu Subuh tadi dipimpin oleh Timbalan Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Ghazali Daud, manakala tazkirah ringkas yang menyentuh mengenai keistimewaan solat fardhu Subuh pula disampaikan oleh pendakwah selebriti menerusi program Pencetus Ummah (PU) Fendi atau nama sebenarnya Ustaz Mohd Affendi Mohamed Nor.
Bilal jemputan yang melaungkan azan Subuh tepat jam 6.18 pagi pula ialah vokalis kumpulan Khalifah, saudara Mohamad Qidam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yabang.
Berucap dalam program tersebut, Tan Sri Razarudin melahirkan rasa bangga beliau terhadap kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan oleh pempengaruh dan selebriti terkenal, saudara Alif Satar yang dilihat mendapat tempat di hati masyarakat, khususnya umat Islam di dalam negara, dengan harapan ia dapat dilaksanakan lagi di masa-masa akan datang.
"Insya-Allah, besar harapan saya supaya aktiviti seumpama ini dapat diteruskan secara istiqamah pada masa akan datang.
"Akhir kata, syabas dan tahniah diucapkan kepada ahli jawatankuasa pentadbir Masjid Bukit Aman dan pasukan Geng Subuh Macam Jumaat dalam memastikan program hari ini berjalan dengan lancar," katanya.
Seusai program di dalam masjid tadi, selebriti saudara Alif bersama para jemaah kemudiaannya melaksanakan riadah di Taman Tasik Botani menerusi aktiviti "fun run" sejauh 3.7 kilometer.
Yang turut menyertai riadah pagi bersama masyarakat yang hadir ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Zainah Othman.
Program anjuran Masjid Bukit Aman itu merupakan yang julung kali diadakan dan PDRM merupakan agensi kerajaan pertama yang berjaya menyahut seruan dan seterusnya menjayakan kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' di premis miliknya.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.















