
Article
Kpn Terima Darjah Utama Bakti Cemerlang Daripada Presiden Republik Singapura
Singapura, 12 Jun 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain telah dikurniakan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Distinguished Service Order) ole...
Singapura, 12 Jun 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain telah dikurniakan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Distinguished Service Order) oleh Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di The Istana, Orchard Road, semalam.
Pengurniaan darjah itu merupakan antara penghormatan tertinggi Kerajaan Singapura kepada tokoh luar negara yang telah menunjukkan komitmen luar biasa, khususnya pencapaian cemerlang Tan Sri Razarudin dalam memperkukuh kerjasama keselamatan serta hubungan dua hala antara Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Sempena lawatan rasmi itu, Tan Sri Razarudin turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemangku Pesuruhjaya Polis Singapura, DCP Lian Ghim Hua di Ibu Pejabat SPF, New Phoenix Park.
Beliau bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman turut menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi yang berlangsung di Senior Police Officers’ Mess. Majlis turut dihadiri para pegawai kanan SPF.
Mengakhiri lawatan rasmi ke negara tersebut, Tan Sri Razarudin telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, H.E. Mr. Lawrence Wong yang berlangsung di The Istana, Orchard Road, pagi tadi.
Hadir sama, bekas Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa) Bukit Aman, pesara SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy dan ACP Perhubungan Antarabangsa, ACP Loh Pey Pey.
Sumber gambar: Singapore Police Force