
Article
Kpn Sempurnakan Pemakaian Beret Dan Sayap Penerjun Kehormat 69 Komando Kepada Tyt Pulau Pinang
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini
Kulim, 28 Januari 2024 - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Hj. Abdul Razak telah menerima beret dan sayap penerjun kehormat 69 Komando daripada Polis Diraja Malaysia yang berlangsung di Lapang Sasar Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, pagi tadi.
Upacara pemakaian beret dan sayap penerjun kehormat 69 Komando itu telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain bersempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Kontinjen Pulau Pinang.
Terdahulu ketibaan TYT telah disambut oleh KPN dan diiringi oleh Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato’ Khaw Kok Chin di Mes Pegawai Kanan, Batalion 2 PGA.
Penganugerahan ini melambangkan satu pengiktirafan tertinggi Pasukan kepada Tun Dato’ Seri Utama bagi menzahirkan ketaatsetiaan warga PDRM khususnya Kontinjen Pulau Pinang kepada pemimpin yang disanjung tinggi dan dihormati oleh seluruh warga Pulau Pinang.
Seterusnya Tan Sri Razarudin mengiringi TYT Pulau Pinang menyempurnakan gimik dengan melepaskan tembakan ke arah sasaran menggunakan senjata jenis Rifle Sniper AX/AW berkaliber 7.62mm sekali gus menyertai warga Pasukan dalam acara menembak.
Dalam majlis yang berlangsung, anggota Batalion 3 PGA Bidor tidak ketinggalan mempersembahkan tarian Senoi Praaq kepada para tetamu kehormat. Selain itu, Unit Tindakhas (UTK) turut membuat persembahan istimewa dengan mempamerkan kemahiran mengendali dan melepaskan tembakan dengan ketepatan yang maksimum.
Tan Sri Razarudin berkesempatan meluangkan masa melawat asrama pelajar dan beramah mesra dengan tenaga pengajar Maktab Rendah Sains Mara PDRM Kulim dengan diiringi oleh Pengetua, Abu Zaki Ahmad Affandi sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Komander Pasukan Gerakan Udara, DCP Dato’ Noor Sham Md Jani, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Khas) Jabatan KDNKA, SAC Anuar Rosdi, Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim, para pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, barisan Ketua Jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta warga Pasukan Batalion 2 PGA.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini