
Article
Kpn Sempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Kepada Tawp Pdrm
Kuala Lumpur, 20 Februari 2026 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda kepad...
Kuala Lumpur, 20 Februari 2026 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dalam ucapannya mewakili seluruh warga PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah Urusan Syarikat Rizqan Tijarah Sdn. Bhd., Encik Abdul Faisal Mohamed atas sumbangan sebanyak 50 buah kerusi roda melalui TAWP untuk kegunaan para pesara polis yang memerlukan.
"Sumbangan kerusi roda ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan bagi bantuan di TAWP 2 yang diwujudkan khusus bagi membantu para pesara polis serta waris yang memerlukan. Penyaluran bantuan menerusi tabung ini membuktikan komitmen jitu PDRM dalam menjaga kebajikan warga Pasukan secara menyeluruh bukan sahaja ketika mereka masih berkhidmat malah selepas menamatkan perkhidmatan," katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid berharap agar Bahagian Hal Ehwal Pesara terus komited dan prihatin terhadap isu kebajikan serta memastikan manfaat yang telah dijanjikan oleh Pasukan kepada para pesara dapat disalurkan dengan sewajarnya.
Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan kerusi roda yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dengan diiringi oleh Tan Sri Ayob Khan serta Pengarah Pengurusan selaku Ahli Tetap TAWP, Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid dan Encik Abdul Faisal kepada lima orang wakil penerima pesara polis di sekitar Lembah Klang sebagai simbolik program diadakan.
Hadir sama, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim, barisan pegawai dan anggota polis kontinjen serta wakil Syarikat Rizqan Tijarah Sdn. Bhd.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.





