
Article
Kpn Santuni 200 Asnaf Pdrm Menerusi Sumbangan Yayasan Seri Negara Dan Zakat Wakalah Pblt Sdn Bhd
Majlis yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara YSN,...
Cheras, 21 Februari 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini menyantuni 200 asnaf warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara (YSN) dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn. Bhd. yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.
Majlis yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara YSN, PBLT Sdn. Bhd. dan PDRM sejak tahun 2022.
Dalam majlis tersebut, masing-masing 100 asnaf dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (KL) dan IPD Cheras menerima sumbangan wang tunai beserta bakul makanan, manakala lima daripada mereka turut menerima bantuan kerusi roda.
Dalam ucapan yang disampaikan, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Mazlan Lazim selaku Penaung Yayasan Seri Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis serta pihak PBLT Sdn. Bhd. atas komitmen berterusan dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk inisiatif zakat wakalah kepada warga Pasukan.
“Kebajikan warga Pasukan tidak pernah dipinggirkan. Kerjasama strategik seperti ini membuktikan bahawa apabila badan bukan kerajaan, sektor swasta dan PDRM berganding bahu, manfaatnya akan terus dirasai oleh anggota serta keluarga yang memerlukan,” ujar beliau.
Tegasnya lagi, kebajikan warga Pasukan merupakan tanggungjawab bersama dan kolaborasi strategik seumpama itu perlu terus diperkasa demi memastikan kesejahteraan anggota sentiasa terbela.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard merangkap Penganjur Bersama Majlis, CP Dato’ Hamzah Hj. Ahmad, Pengurus Besar Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perancangan Korporat PBLT Sdn. Bhd., Ts. Mohd Yusoff Awang, barisan Pengarah PDRM, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim serta Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daud.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim.











.








