
Artikel
Kpn Sambut Baik Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wirawati Pdrm Anjuran Jppw Bersama Lppkn
Kuala Lumpur, 5 September 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani menyambut baik pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Reprodukti...
Kuala Lumpur, 5 September 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani menyambut baik pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wirawati Polis Diraja Malaysia (PDRM) anjuran Jawatankuasa Pengurusan Pembangunan Polis Wanita (JPPW) bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang diadakan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM, di sini pagi tadi.
Dalam ucapannya, Tan Sri Acryl Sani berkata, PDRM sentiasa mendukung segala usaha kerajaan untuk menjaga kesejahteraan dan memartabatkan kaum wanita.
“Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wirawati PDRM ini, merupakan salah satu bentuk komitmen dan keprihatinan kerajaan, dalam memastikan golongan wanita kekal sihat dan terhindar daripada risiko pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser, agar mereka dapat terus menyumbang khidmat kepada pembangunan keluarga, Pasukan dan negara,” ucapnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang hadir merasmikan kempen tersebut.
Tan Sri Acryl Sani turut menggalakkan semua wanita khususnya dalam keluarga besar PDRM untuk menjalani Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) dan Ujian Mamogram di lokasi yang disediakan di seluruh negara.
Tambahnya lagi, kempen yang dijalankan itu tidak melibatkan golongan wanita PDRM yang masih berkhidmat semata-mata, malah turut disertai oleh warga Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan wirawati Pasukan yang telah bersara.
Berdasarkan statistik yang diterima, seramai 23 wanita warga PDRM telah meninggal dunia pada tahun lalu dan empat daripadanya disahkan menghidap barah payudara, rahim dan kanser servik. Usaha penganjuran kempen seumpama ini diharapkan dapat menyuntik kesedaran dan keprihatinan warga kerja PDRM terutamanya kaum wanita untuk terus memberi tumpuan terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi LPPKN, Puan Mastura Mohd Darby, Ketua Pengarah LPPKN, Tuan Hj. Abdul Shukur Abdullah, Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa, Pengarah Pengurusan, CP Datuk Zaini Jass, barisan Pengarah PDRM bersama isteri, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) merangkap Pengerusi JPPPW, DCP Dato’ Nerita Yaacob dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.
\