
Article
Kpn Raikan Pesara Dan Bakal Pesara Pdrm Peringkat Bukit Aman Tahun 2023
Kuala Lumpur, 8 Disember 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain malam tadi hadir menyerikan Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis...
Kuala Lumpur, 8 Disember 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain malam tadi hadir menyerikan Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Bukit Aman Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin menghargai kehadiran para pesara dan bakal pesara dalam majlis itu yang jelasnya membuktikan semangat kecintaan menebal kepada Pasukan, walaupun telah memasuki alam persaraan.
“Sudah menjadi resam, setiap pertemuan pastinya akan ada perpisahan. Sudah tentu banyak kenangan pahit dan manis telah dilalui sepanjang mengabdikan diri, berkhidmat di bawah Panji Sang Saka Biru ini.
“Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pesara yang telah membanting keringat, menghabiskan separuh daripada usia untuk bersama-sama Pasukan. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti serta pengorbanan yang dicurahkan kepada PDRM,” ujar beliau lagi.
Turut diberi penghormatan tadi ialah ucapan penghargaan daripada wakil pesara yang disempurnakan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), pesara CP Dato' Sri Mat Kasim Karim.
Tertib majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan bersama cenderahati kepada kesemua yang diraikan oleh Tan Sri Razarudin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato' Sri Azri Ahmad bersama isteri, Datin Sri Norliah Othman, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf bersama isteri, Datin Sri Fatimah Hj. Moyedden, Pengarah JSPT, CP Dato' Mohd Azman Ahmad Sapri bersama isteri, Datin Nassariah Mohd Nassir, CP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, DCP Gilberd Philip Layang dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid













