Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Kpn Rai Majlis Persaraan Ketua Urus Setia Kpn Perhubungan Antarabangsa

Published: 06 Jan 2025 8.38 AM Updated: 15 Aug 2026 6.48 PM
Kuala Lumpur, 6 Januari 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir meraikan Majlis Persaraan Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy di Dewan Banquet, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, pagi tadi.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/kpn-rai-majlis-persaraan-ketua-urus-setia-kpn-perhubungan-antarabangsa
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 18:33 MYT
Kuala Lumpur, 6 Januari 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir meraikan Majlis Persaraan Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy di Dewan Banquet, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, pagi tadi.

Majlis ringkas tapi penuh bermakna itu dimulakan dengan ucapan penghargaan oleh Tan Sri Razarudin kepada Dato’ Pahlawan Suparamaniam yang bakal menjalani persaraan wajib bermula esok, 7 Januari 2025 setelah lebih 33 tahun menabur bakti dalam Pasukan Sang Saka Biru.

Tan Sri Razarudin menyifatkan Dato’ Pahlawan Suparamaniam sebagai seorang pegawai kanan polis yang berkredibiliti tinggi dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta mempunyai ciri-ciri “leadership by example” yang harus dicontohi oleh generasi polis masa kini.

“Beliau seorang yang sangat berpengalaman dan tidak pernah mempersiakan kepercayaan serta mandat yang diberikan kepadanya selama ini”, ujar Tan Sri Razarudin lagi.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu telah memulakan kerjayanya dalam bidang kepolisan pada tahun 1991 dan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Johor sebagai pegawai penyiasat sejurus menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Dato’ Pahlawan Suparamaniam turut memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sabak Bernam, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kontinjen Selangor, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah dan Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa) Bukit Aman.
Dalam majlis tadi, Dato’ Pahlawan Suparamaniam turut menzahirkan sokongan kepada barisan kepimpinan agar kewibawaan dan kehebatan Pasukan dipertingkatkan lagi menerusi penggunaan teknologi dan kepintaran buatan yang semakin berkembang pesat demi menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Yang turut hadir memeriahkan majlis, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, CP Dato’ Muhammed Hasbullah Ali, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, barisan Ketua Urus Setia KPN dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.

Jasamu dikenang, baktimu disanjung. Terima kasih dan selamat bersara Dato’ Pahlawan Suparamaniam.

Jurugambar: Lans Koperal Khairunisa Ibrahim dan Konstabel Muhammad Azri Sabri

ArticlePublished 06 Jan 2025 8.38 AMUpdated 15 Aug 2026 6.48 PM