
Artikel
Kpn Mempengerusikan Mesyuarat Jpksn Bersama Jabatan Dan Agensi Kerajaan
Kuala Lumpur, 15 Februari 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan...
Kuala Lumpur, 15 Februari 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Sempadan Negara (JPKSN) Bil. 1/2024 bersama jabatan dan agensi kerajaan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, di sini.
Selain membincangkan isu-isu keselamatan di sepanjang kawasan sempadan, mesyuarat tersebut juga bertujuan mencari penyelesaian bersama di antara jabatan dan agensi kerajaan bagi menjamin keselamatan serta keamanan dalam negara.
Tan Sri Razarudin dalam ucapannya berkata, selaku agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab untuk menjaga sempadan negara, kesemua agensi hendaklah cakna dan bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk ancaman khususnya jenayah rentas sempadan. Ini termasuklah integrasi pangkalan data dan perkongsian maklumat yang memudahkan komunikasi dan tindakan penyelarasan melibatkan antara agensi diperkemaskan.
Dalam mesyuarat sama, Tan Sri Razarudin ditaklimatkan mengenai situasi semasa di persempadanan oleh Ketua Penolong Pengarah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), ACP Shaiful Azmi Hussein Omar, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Dato’ Haji Noorrul Azril Ariff, Komander Eastern Command, DCP Datuk Victor Sanjos dan Pengarah Ukur Seksyen (Sempadan Darat Antarabangsa), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Sr Saiful Nizam Saip.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) merangkap Pengarah Jabatan KDNKA, selaku penaung jawatankuasa penganjur, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Dato' Abdul Kadir Abu Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Rospiagos Taha, barisan Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil dari setiap agensi jawatankuasa serta wakil-wakil daripada Setiausaha Kerajaan Negeri melalui telesidang.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri










