
Article
Kpn Isteri Rai Tan Sri Acryl Sani Dan Puan Sri Zaitun Dalam Malam Mes Dining Out Abadi Dalam Sanjungan
Subang Jaya, 10 Julai 2023 - Ketua Polis Negara (KPN) selaku Yang Dipertua Mes Polis Diraja Malaysia (PDRM), IG Tan Sri Razarudin Husain dan isteri merangkap P...
Subang Jaya, 10 Julai 2023 - Ketua Polis Negara (KPN) selaku Yang Dipertua Mes Polis Diraja Malaysia (PDRM), IG Tan Sri Razarudin Husain dan isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman berbesar hati meraikan bekas KPN, Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa dalam Majlis Malam Mes “Dining Out” di Hotel Sunway Resort, dekat sini, malam tadi.
Majlis makan malam penuh istiadat kepolisan itu diadakan bersempena persaraan Tan Sri Acryl Sani pada 22 Jun lalu dengan bertemakan ‘Abadi Dalam Sanjungan’.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan KPN yang juga Timbalan Yang Dipertua Mes PDRM, DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan isteri selaku Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Seri Zalena Mohd Ariffin.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Razarudin menyifatkan keperibadian figura ulung, Tan Sri Acryl Sani sememangnya terkenal dengan sifat tenang dan tidak mudah melatah ketika berhadapan dengan apa jua cabaran dan dugaan.
Tambah beliau, sifat tersebut menjadikannya seorang pemimpin yang wajar dicontohi oleh generasi pelapis Pasukan, masa kini.
Majlis malam tadi turut diserikan dengan tayangan video khas berkenaan Tan Sri Acryl Sani yang menceritakan pengalaman hidup beliau sejak bangku sekolah sehingga menjadi individu nombor satu dalam Pasukan.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri bersama isteri, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Integriti) Bukit Aman merangkap Naib Yang Dipertua Mes PDRM, DCP Dato' Fadzil Ahmat bersama isteri, Datin Norsiah Wakiban dan ahli keluarga Tan Sri Acryl Sani.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin.










