
Article
Kpn Hadir Taklimat Prk Dan Perjumpaan Bersama Warga Batalion 3 Pga
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain, hari ini telah menghadiri Taklimat Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.48 Ayer Kuning dan mengadakan sesi perjumpaa...
Tapah, 19 April 2025 – Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain, hari ini telah menghadiri Taklimat Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.48 Ayer Kuning dan mengadakan sesi perjumpaan bersama warga Batalion 3,Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Bidor, Perak.
Ketibaan Tan Sri Razarudin sekitar jam 9.00 pagi tadi telah disambut oleh Pengarah Cawangan Khas, CP Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama Ketua Polis Perak, CP Dato' Noor Hisam Nordin.
Lawatan beliau ini bertujuan untuk meninjau sendiri kesiapsiagaan dan tahap persediaan pasukan keselamatan dalam menghadapi PRK di samping memberi kata-kata semangat kepada anggota yang bertugas di lapangan.
Dalam sesi taklimat yang berlangsung, Tan Sri Razarudin diberi penerangan oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Kontinjen Perak, SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin @Hilmi mengenai penugasan, logistik, pengurusan keselamatan kawasan dan langkah-langkah kawalan sepanjang tempoh PRK berlangsung.
Dalam lawatan yang diadakan, Tan Sri Razarudin turut meluangkan masa bertemu dengan warga Batalion 3 PGA dan menyampaikan amanat kepada petugas-petugas PRK untuk memastikan proses pilihan raya ini berjalan dengan lancar.
“Adalah penting bagi setiap petugas untuk meningkatkan pematuhan disiplin, keterampilan diri, memahami skop tugas dan bidang kuasa yang dipertanggungjawabkan serta memastikan integriti, telus, adil juga profesionalisme menjadi pegangan utama dalam setiap aspek penugasan,” ujar beliau.
Beliau juga berbesar hati menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah dan wang tunai kepada 17 penerima yang terdiri daripada balu serta anak-anak istimewa warga Batalion 3 PGA dalam lawatan yang diadakan kali ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim dan Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Bidor, Superintendan Azhar Hj. Hashim.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang, Koperal Muhammad Izqhar Zainal Abidin, Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Konstabel Muhammad Azri Sabri.





















