
Article
Kpn Hadir Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Di Wtckl
Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran' itu dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebagai wadah terbaik...
Kuala Lumpur, 9 Oktober 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini bersama umat Islam memperingati hari ulang tahun junjungan besar Nabi Muhammad SAW, yang diadakan peringkat kebangsaan dekat Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.
Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran' itu dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebagai wadah terbaik dalam menyantuni umat Islam meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
Berangkat mengimarahkan sambutan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Yang turut hadir mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ialah Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob bersama para pembesar negara dan kenamaan asing yang dijemput hadir.
Seperti kelaziman, sambutan pada tahun ini menyaksikan Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif, Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dipilih menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul SAW, manakala enam tokoh lain pula, dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon pelbagai kategori.
Antaranya ialah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Azizan Baharudin yang menerima Anugerah Ikon Sains dan Peradaban manakala Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Hj. Ahmad Noor Sulaiman menerima Anugerah Ikon Media Islam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi Buang TUDM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Hj. Idris Hj. Ahmad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Hj. Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hjh. Hakimah Mohd Yusoff.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang

























