
Kpn Hadir Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023
Kuala Lumpur, 1 Februari 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hadir ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini, pagi tadi.
Istiadat pengurniaan itu telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah kepada 164 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023.
Turut berangkat ke istiadat tersebut, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Pada istiadat pagi tadi, seramai sembilan pegawai Polis Diraja Malaysia turut menerima darjah kebesaran tersebut antaranya Pengurniaan Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran "Datuk" kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Azmi Abu Kassim.
Tidak ketinggalan Pengurniaan Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.) diberikan kepada Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Azari Abd Rahman, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Bukit Aman, SAC Willey Richard dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Pematuhan) Bukit Aman, SAC Thaipul Bahri Mokhtar.
Hadir sama dalam majlis istiadat tersebut ialah Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan PM, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohd Zuki Ali.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abdul Rashid