
Artikel
Kpn Hadir Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke 15
Kuala Lumpur, 3 Februari 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Pa...
Kuala Lumpur, 3 Februari 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 yang berlangsung di Bangunan Parlimen, di sini, pagi tadi.
Berangkat mencemar duli menyempurnakan istiadat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Turut menghadiri istiadat tersebut ialah Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama kedua-dua Timbalan PM, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof, barisan jemaah menteri serta ketua-ketua perwakilan asing.
Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kerjasama semua pihak dalam memastikan negara bersih dan selamat sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping menasihatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati agar tidak terlibat dengan jenayah penipuan.
Seusai istiadat, Tan Sri Razarudin kemudiannya menghadiri Perjumpaan Bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah dekat Bilik Mesyuarat Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman serta barisan pegawai kanan agensi di bawah KDN.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz



