
Article
Kpn Hadir Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke 19
Putrajaya, 16 Ogos 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir ke Majlis Amanat Perdana Penjawat Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung di...
Putrajaya, 16 Ogos 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir ke Majlis Amanat Perdana Penjawat Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau sekitar jam 9.30 pagi telah disambut oleh Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato' Sri Azri Ahmad sebelum dibawa masuk ke dalam PICC untuk menunggu ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
MAPPA ke-19 menyaksikan pengumuman oleh Dato' Seri Anwar berkenaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu untuk dilaksanakan seawal bulan Disember tahun ini melibatkan peningkatan penyelarasan gaji signifikan buat 1.7 juta penjawat awam di Malaysia.
Ia merupakan antara pelarasan gaji terbesar yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dalam usaha untuk mengiktiraf peranan penting penjawat awam termasuklah warga Polis Diraja Malaysia
Seperkara yang membanggakan Pasukan dalam majlis tadi ialah bacaan ikrar penjawat awam di hadapan pemimpin negara tadi diketuai oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, ACP Foo Chek Seng.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua-ketua Perkhidmatan Awam dan barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.