
Artikel
KPN DIKURNIA DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S)
Klang, 11 Disember 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.)...
Klang, 11 Disember 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran “Dato' Seri” di Balairung Seri Istana Alam Shah, di sini.
Turut berangkat ke istiadat pagi tadi, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Dalam istiadat yang berlangsung, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) kepada Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan yang membawa gelaran “Dato'”.
Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail dan isteri kepada Ketua Polis Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kuala Lumpur, Datin Dr. Kamariah Omar.
Manakala, KPD Shah Alam, ACP Hj. Mohd Iqbal Ibrahim pula adalah antara 13 penerima yang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.).
Seramai 97 penerima hari ini dikurniakan pelbagai darjah dan bintang kebesaran selepas diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor.
Yang turut hadir, Ahli Kerabat Diraja Selangor, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Allaudeen Abdul Majid dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid














