
Article
Kpn Dan Pengerusi Perkep Malaysia Ziarahi Warga Pasukan Di Melaka
Melaka, 24 Ogos 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) M...
Melaka, 24 Ogos 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk Hjh. Munirah Che Rose hari ini menziarahi dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang sedang uzur di kediaman masing-masing.
Lawatan kebajikan itu melibatkan Koperal Siti Nordiana Mohd Nazeri dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Sarjan H. Ahmad Harun yang bertugas di Cawangan Mahkamah.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bersama isteri terlebih dahulu mengunjungi kediaman Koperal Siti Nordiana di Kampung Sungai Putat sekitar jam 3.00 petang. Koperal Siti Nordiana berdepan masalah kesihatan apabila mengalami jangkitan kuman pada paru-paru serta pernah diserang strok ringan.
Seterusnya, pasangan itu menziarahi Sarjan H. Ahmad di Taman Perumahan Rambai Indah dan meluangkan masa hampir setengah jam bertanyakan khabar serta perkembangan kesihatannya selepas kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2023.
Kehadiran Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dan isteri ternyata memberi suntikan semangat serta penghargaan besar buat kedua-dua anggota berkenaan.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut berbesar hati menyampaikan sumbangan serta kata-kata dorongan agar mereka dan keluarga kekal kuat menghadapi ujian.
Turut sama hadir dalam ziarah tersebut ialah Ketua Polis Melaka, DCP Dato’ Dzulkhairi Mokhtar, Pengerusi PERKEP Kontinjen Melaka, Datin Diana Aini Mokter, barisan pegawai kanan dan ahli-ahli PERKEP Kontinjen Melaka.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar





