
Article
Kpn Dan Pengerusi Perkep Hadir Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Kdn
Gerik, 12 Mei 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri merangkap Pengerusi Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah...
Gerik, 12 Mei 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri merangkap Pengerusi Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman hadir ke Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Jeti Pengkalan Pipit, Lenggong, di sini, pagi tadi.
Kampung Beng, Lenggong dipilih sebagai kampung angkat Madani KDN, merupakan inisiatif kerajaan bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet dapat dipertingkatkan di kawasan luar bandar.
Dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tersebut, hadirin turut dipersembahkan gimik perasmian dengan aksi penerjunan para bebas 69 Komando oleh enam "troopers" Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tan Sri Razarudin bersama tetamu jemputan turut dipertontonkan dengan persembahan demonstrasi operasi bersepadu menyelamat melibatkan aset-aset daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, 69 Komando, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam majlis sama, PDRM melalui Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak turut tidak ketinggalan menyediakan kaunter pengurangan kadar kompaun saman sehingga 50%.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin bersama tetamu jemputan turut dibawa menelusuri Sungai Perak dengan menaiki bot PPM dan APMM bagi melawat kawasan perkampungan sekitar.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin, Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) KDN, Datin Seri Norhayati Musa, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah bersama isteri merangkap Timbalan Penaung PUSPANITA KDN, Datin Seri Hamisah Hussin, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi bersama isteri merangkap Pengerusi PUSPANITA KDN, Datin Kamariah Abd Rahman, barisan Timbalan KSU KDN bersama isteri, barisan ketua pengarah jabatan dan agensi KDN dan isteri, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Dato' Pahlawan Azizi Hj. Mat Aris dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri