
Article
Kpn Berbuka Puasa Bersama Warga Polis Kontinjen Kedah
Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah dalam suasana penuh...
Kuala Muda, 14 Mac 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah dalam suasana penuh kesederhanaan dan ukhuwah di Surau As-Syakirin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, semalam.
Ketibaan beliau pada jam 6.45 petang telah disambut oleh Ketua Polis (KP) Kedah, CP Datuk Azdli Abu Shah bersama Timbalan KP Perlis, SAC Mohd Ismail Ibrahim.
Program anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dengan kerjasama IPD Kuala Muda itu menghimpunkan pegawai dan anggota polis, pegawai awam serta ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), sekali gus menjadi wadah mengeratkan hubungan antara kepimpinan dan warga Pasukan.
Pada kesempatan tersebut, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid turut menyampaikan sumbangan kepada 27 anak-anak istimewa dalam kalangan warga PDRM Zon Selatan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Program diteruskan dengan bacaan tahlil serta munajat memohon keberkatan dan rahmat Ilahi yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Yusuff Nasurdin dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), IPD Kulim.
Sejurus azan Maghrib berkumandang, para hadirin berbuka puasa bersama sebelum menunaikan solat fardu yang diimamkan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Firdauz Johan dari BAKA IPD Kuala Muda.
Penganjuran program itu bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah di bulan Ramadan, malah mencerminkan keprihatinan kepimpinan tertinggi PDRM dalam menyantuni warga Pasukan serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam organisasi.
Turut hadir, Pengerusi PERKEP Kontinjen Kedah, Datin Hasnah Sagap, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim dan barisan Ketua Jabatan serta Ketua Polis Daerah Kontinjen Kedah.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar






































