
Artikel
Kpn Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang
Kunjungan Tan Sri Acryl Sani ke atas Tun Ahmad Fuzi di Pulau Mutiara itu merupakan yang pertama sejak beliau dilantik memimpin Pasukan. Terdahulu pada sebelah...
George Town, 22 Februari 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Hj. Abdul Razak di Hotel Eastern & Oriental, Pulau Pinang, di sini.
Kunjungan Tan Sri Acryl Sani ke atas Tun Ahmad Fuzi di Pulau Mutiara itu merupakan yang pertama sejak beliau dilantik memimpin Pasukan.
Terdahulu pada sebelah pagi, Tan Sri Acryl Sani telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan seterusnya menyampaikan amanat kepada warga kontinjen yang terdiri daripada barisan ketua jabatan dan ketua polis daerah.
Dalam amanatnya, beliau berharap agar warga Polis Pulau Pinang sentiasa berkhidmat dengan ikhlas demi mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam di negeri tersebut.
“Suka untuk saya mengingatkan tentang keperluan memegang teguh kepada tiga fokus hala tuju Pasukan yang telah saya tetapkan iaitu memperkasakan integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan serta mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat”, ujarnya.
Tidak ketinggalan dalam siri lawatannya itu, beliau turut berbesar hati menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N.) kepada 123 warga Pasukan yang masih berkhidmat dan telah bersara di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama dekat sini.
Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama timbalannya, DCP Dato' Fisol Salleh dan Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Kamaruzaman Abdullah.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Mohd Shazril Abd Rashid.