Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

KOMUNIS TETAP PETUALANG NEGARA

Diterbitkan: 18 Aug 2018 8.11 AM Dikemas kini: 24 Aug 2026 1.15 PM
Sibu, 17 Ogos 2018 -Rakyat Malaysia perlu menghapuskan tanggapan bahawa komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara ini daripada belenggu penjajahan.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/komunis-tetap-petualang-negara-20180818
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:01 MYT

Sibu, 17 Ogos 2018 -Rakyat Malaysia perlu menghapuskan tanggapan bahawa komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara ini daripada belenggu penjajahan.

Malah, sebarang cubaan mengangkat perjuangan komunis yang membantu negara mencapai kemerdekaan boleh dianggap sebagai penghinaan kepada pejuang sebenar, terutama dalam kalangan anggota keselamatan, begitu juga waris mereka.

Bagi Pegawai Pemerintah Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Sanudin Mohd Isa, cadangan agar pergerakan komunis ditafsirkan sebagai perjuangan kemerdekaan, termasuk ‘dikongsi’ dalam sistem pendidikan negara oleh sesetengah pihak sebelum ini sangat tidak berasas.

“Sebaliknya, perjuangan pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang kini dikenali sebagai PGA, begitu juga pasukan keselamatan lain yang perlu kita angkat, terutama pengorbanan mereka dalam memerangi petualang (komunis) negara itu.

“Kita jangan mudah lupa kekejaman dan kezaliman komunis terhadap rakyat kita, malah banyak yang terkorban ketika era ini. Dalam konteks ini, rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu yakin bahawa perjuangan pasukan keselamatan perlu disanjung tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perbarisan Sambutan Ulang Tahun Ke-49 Batalion 10 PGA, di sini, semalam.

Dalam proses mengecapi kemerdekaan negara, terutama pada peringkat awal merdeka, ramai pegawai dan anggota keselamatan terkorban mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Bahkan, ada di antara mereka ‘diangkat’ sebagai Pahlawan dan Kesatria kita. Di sebalik keamanan dan kemajuan dikecapi, jangan sesekali kita lupakan pengorbanan mereka,” katanya.

Beliau turut membacakan semula 15 nama anggota Batalion 15 PPH yang terkorban ketika bertugas sepanjang era insurgensi, selain konfrontasi Malaysia-Indonesia sebagai menghargai pengorbanan mereka.

Pada majlis sama, seramai 24 pegawai dan anggota turut menerima surat penghargaan.

Sambutan itu diadakan bagi mengimbas kembali penubuhan Batalion 10 PGA dan menghargai perjuangan pegawai dan anggota yang terkorban ketika berjuang menentang pengganas komunis.

Sumber : Berita Harian Online

ArtikelDiterbitkan 18 Aug 2018 8.11 AMDikemas kini 24 Aug 2026 1.15 PM