Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Ketum Polis Padang Besar Serbu Lima Lokasi Enam Ditahan

Diterbitkan: 03 Aug 2018 8.14 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Padang Besar, 3 Ogos 2018 - Polis menahan enam lelaki tempatan dan merampas lebih 414 liter air ketum bernilai RM2,000 dalam lima serbuan di daerah ini pada Selasa dan Rabu lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/ketum-polis-padang-besar-serbu-lima-lokasi-enam-ditahan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 18:36 MYT

Padang Besar, 3 Ogos 2018 - Polis menahan enam lelaki tempatan dan merampas lebih 414 liter air ketum bernilai RM2,000 dalam lima serbuan di daerah ini pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Muhamad Halim Yatim berkata turut dirampas 38 kilogram (kg) daun ketum dan 19.9 liter cecair ubat batuk.

Katanya dalam serbuan kira-kira 11 pagi Selasa, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Guar Musang, Panggas ketika sedang leka memproses air ketum.

“Polis menemukan sebahagian air ketum di dalam periuk dan 52 bungkusan dalam plastik serta 26kg daun ketum dalam serbuan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya lima lagi lelaki ditahan dalam serbuan pada Rabu antara 3.30 petang hingga 6.30 petang di Kampung Tersusun, Kampung Titi Tapang, Kampung Kolam dan Batu 20 di sini.

Muhamad Halim berkata enam suspek itu berumur 25 hingga 45 tahun disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata siasatan mendapati air ketum tersebut dijual mengikut saiz diminta pelanggan berharga antara RM5 dan RM10 sebungkus.

“Dianggarkan suspek mengaut keuntungan lumayan sebanyak RM500 sehari hasil jualan air ketum yang dicampurkan dengan ubat batuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, pihak polis merampas kira-kira 34 tan daun ketum dan 830 liter air ketum serta menahan 104 orang.

Katanya nilai rampasan mencecah RM1.3 juta termasuk nilai kenderaan digunakan dalam jenayah berkaitan ketum.- BERNAMA


ArtikelDiterbitkan 03 Aug 2018 8.14 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM