
Ketua Polis Negara Terima Anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara
Putrajaya, 14 Januari 2019 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun mendahului 13 penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dalam Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diadakan di Auditorium KDN, di sini, pagi tadi.
Antara penerima PJPN adalah Bekas-bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, Tan Sri Dato' Seri Norian Mai, Tan Sri Musa Tan Sri Haji Hassan dan Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Ismail Haji Omar.
Penganugerahan tersebut adalah bagi menghargai jasa pengorbanan dan kebaktian para pegawai polis kepada negara yang terlibat dari Era Darurat (12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960), Era Insurgensi Komunis (17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989) dan Perkhidmatan Semasa Darurat di Sabah dan Sarawak dari tahun 1962 hingga 17 Oktober 1990.
Dalam Majlis Amanat Tahun Baharu KDN yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin itu antaranya memfokuskan mengenai isu dan cabaran keselamatan dalam negara yang perlu dititikberatkan seiring pelaksanaan dasar dan program kementerian bagi tahun 2019.
“Dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, semua jabatan dan agensi KDN perlu bekerjasama dan mewujudkan sinergi antara satu sama lain termasuk berkongsi maklumat dan sumber, merangka strategi bersama serta mengadakan perbincangan yang berterusan dalam menyelesaikan sesuatu isu yang berada di bawah bidang kuasa kementerian," ujar beliau di hadapan lebih 1,000 penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah KDN yang hadir.
Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin turut menyempurnakan pelancaran Web Portal e-Pesara yang merupakan inisiatif terbaharu PDRM bagi menyimpan maklumat berpusat secara atas talian terhadap 140,000 para pesara polis yang telah banyak berjasa kepada negara.
Turut hadir dalam majlis tadi ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Mohd Azis Jamman, Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Seri Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Sri Nadzri Siron, barisan Pengarah PDRM, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KDN serta wakil-wakil media.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dari Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin.
Jejak Persara...Datuk Haji Abd Majid Ahmad menerima Profail Frame dari Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin sebagai tanda penghargaan dan penghormatan setelah 35 tahun mencurahkan bakti dalam PDRM.
Persembahan Tarian Lagenda Perang Senoi Praaq yang diketuai oleh ASP Mohd Nasrul Faiz Suaid.
Sekitar Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).
Bergambar kenangan.