
Pdrm Jkdm Azam Tingkat Imej Kualiti Kerja Ke Tahap Lebih Cemerlang
Bentong, 13 Januari 2019 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berazam meningkatkan imej dan kualiti kerja ke tahap lebih cemerlang menerusi pertemuan berkala di antara pucuk pimpinan kedua-dua agensi penguatkuasa termasuk memperkemaskan lagi jalinan kerjasama sedia ada, kata Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.
"Kita hendaklah sentiasa bersepakat dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain demi tanggungjawab hisbah kita kepada masyarakat dan negara.
“Saya juga yakin, segala perancangan dan persetujuan yang telah diputuskan dalam mesyuarat kali ini, akan melancarkan lagi kerjasama di antara PDRM dan JKDM, selain memberikan impak yang berganda ke arah melaksakan tanggungjawab yang lebih cemerlang," katanya ketika berucap sempena Majlis Penutup Mesyuarat Tertinggi kali ke-4 di antara PDRM dan JKDM di Resort World Awana di sini, pagi tadi.
Mesyuarat selama dua hari yang bermula semalam itu dianjurkan oleh JKDM dengan turut dihadiri oleh Ketua Pengarahnya sendiri, Dato' Sri Subromaniam Tholasy, barisan Pengarah PDRM dan Timbalan Ketua Pengarah JKDM serta para pegawai kanan dari kedua-dua agensi penguatkuasa negara.
Tan Sri Mohamad Fuzi turut yakin bahawa Nota Kerjasama yang ditandatangani dalam mesyuarat kali ini mampu memacu kualiti kerja kedua-dua agensi ke tahap yang lebih matang dan profesional.
"Dengan termeterainya Nota Kerjasama tersebut, ia akan memperteguhkan lagi hubungan kerjasama di antara PDRM dan JKDM, sekali gus memperkasakan perkongsian maklumat, kepakaran, latihan dan penyelarasan operasi kedua-dua agensi, InsyaAllah," ujar beliau.
Dalam majlis tersebut juga, Tan Sri Mohamad Fuzi dan Dato' Sri Subromaniam bersama-sama warga jabatan masing-masing telah menyertai Pertandingan Bowling Persahabatan dan Majlis Makan Malam bagi tujuan mengeratkan lagi jalinan persahabatan antara warga kerja kedua-dua agensi.
Majlis turut diserikan lagi dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua ahli mesyuarat yang terlibat.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar bersama Ketua Pengarah JKDM, Dato' Sri Subromaniam Tholasy.
Sekitar Mesyuarat Tertinggi kali ke-4 di antara PDRM dan JKDM di Resort World Awana.
Sesi penyampaian cenderahati.
Ketibaan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.
Pengarah Jabatan KDNKA, Dato' Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani menyempurnakan perasmian Perlawanan Bowling Persahabatan JKDM dan PDRM.
Ucapan oleh Ketua Pengarah JKDM, Dato' Sri Subromaniam Tholasy.
Sekitar Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Kolabrasi JKDM dan PDRM Kali Ke-4.
Sekitar penyampaian hadiah Perlawanan Bowling Persahabatan JKDM dan PDRM kepada para pemenang.