Ketua Geng Pecah Rumah Matruji Mati Berbalas Tembak Dengan
Sepang,
25 Dis - Seorang warga asing yang mengetuai kumpulan samun dan pecah
rumah 'Matruji' maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis, di
Taman Mas di sini malam semalam.
Geng
yang diketuai suspek berusia 43 tahun itu aktif sejak 2005 dan terbabit
dalam sekurang-kurangnya 27 kes di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau
Pinang, serta merupakan antara geng penjenayah warga asing paling
dikehendaki.
Timbalan
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 9
malam itu, suspek dikenali sebagai Mat Ting War @ Matruji dikesan oleh
polis peronda yang melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa
polis hendak membuat pemeriksaan, suspek terus melarikan diri ke arah
belukar berhampiran. Suspek kemudian melepaskan beberapa tembakan ke
arah polis menyebabkan anggota terbabit membalas tembakan berkenaan,"
katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Katanya
suspek maut di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk
pistol automatik jenis Vzor 70 cal 7.65 serta tiga butir peluru.
Abdul
Rahim berkata pemeriksaan dalam but kereta suspek menemukan satu
pemotong besi besar dan kuku kambing, dipercayai untuk kegiatan jenayah.
Kereta itu juga dilapor hilang di Sikamat, Negeri Sembilan pada Mei lepas, katanya.
Beliau
berkata pemeriksaan lanjut mengenai suspek mendapati lelaki itu
dipercayai pendatang tanpa izin serta pernah dipenjarakan dari 2009
hingga 2011 atas kesalahan samun.
Polis
kini sedang mengesan anggota geng itu yang dipercayai antara empat dan
enam orang, disyaki bersembunyi di Selangor, katanya.
Sumber : BERNAMA