Ketepikan Kepentingan Peribadi Demi Masyarakat Dan Negara Tkpn
Kuala Lumpur, 4 Februari 2017 – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini telah menegaskan kepada semua warga Polis Diraja Malaysia khususnya kepada Kadet Inspektor yang bakal melaporkan tugas agar bersedia untuk mengenepikan kepentingan peribadi demi pengorbanan kepada masyarakat dan negara.
Berucap mewakili Ketua Polis Negara sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi tadi, beliau sebelumnya telah berkata selaras dengan usia PDRM yang bakal mencecah usia 210 tahun tahun ini semestinya memerlukan pelapis-pelapis yang dapat mencurahkan segala kepakaran dan kemahiran masing-masing demi kecemerlangan pasukan, bukannya sekadar mengisi kekosongan perjawatan semata-mata.
Beliau juga turut berpesan supaya nilai integriti sentiasa dipupuk di dalam diri setiap warga PDRM kerana kualiti itulah tunjang dalam pasukan dan merupakan aset terpenting dalam pembangunan sebuah organisasi yang dihormati dan disanjung tinggi.
Ujar beliau lagi, dengan ‘track record’ yang cemerlang setiap tahun serta pengukuhan integriti dan pematuhan standard yang semakin mantap, tidak mustahil persepsi serta kepercayaan masyarakat terhadap PDRM semakin mantap.
Majlis perbarisan tamat latihan pada hari ini disertai oleh seramai 596 Kadet Inspektor yang telah menjalankan latihan asas kepolisan mulai 8 Mei 2016 lalu.
Turut hadir pada hari ini, Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Dato’ Rusli Ahmad, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Dato' Shamsudin Mat, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan PDRM serta wakil-wakil media.
Sekitar Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2016 hari ini..
Tabik hormat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim..
Upacara pemeriksaan perbarisan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim..
Sesi lintas hormat perlahan jalan dan cepat masa oleh Kadet Inspektor..
Ucapan daripada Timbalan Ketua Polis Negara..
Sekitar sesi penyampaian Anugerah Pelatih Terbaik..
Sesi bacaan lafaz ikrar dan tiga kali sorakan sedia berkhidmat..
Para Kadet Inspektor bersama dengan keluarga masing-masing setelah selesai perbarisan...
Para Kadet Inspektor bersama dengan keluarga masing-masing setelah selesai perbarisan...
Barisan jurulatih yang terlibat sepanjang Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2016...