
Artikel
Kerjasama Strategik Nadma Pdrm Tingkat Kesiapsiagaan Bencana
Kuala Lumpur, 18 Mei 2026 – Kesiapsiagaan menghadapi krisis dan bencana negara terus dipertingkat menerusi jalinan kerjasama yang lebih erat antara Agensi Peng...
Kuala Lumpur, 18 Mei 2026 – Kesiapsiagaan menghadapi krisis dan bencana negara terus dipertingkat menerusi jalinan kerjasama yang lebih erat antara Agensi Pengurusan Bencana Negara, (NADMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pertemuan rasmi di Bilik Tetamu Ketua Polis Negara (KPN), Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, petang tadi.
Pertemuan tersebut diadakan sempena kunjungan hormat Ketua Pengarah NADMA, Tuan Meor Ismail Meor Akim ke atas KPN, Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang turut dihadiri delegasi daripada NADMA.
Antara agenda utama yang dibincangkan merangkumi usaha sama meningkatkan tahap kompetensi warga PDRM mengenai pengurusan bencana, terutamanya melibatkan Ketua Polis Daerah yang berperanan sebagai Komander Operasi Bencana di lapangan. Selain itu, perbincangan turut memfokuskan aspek pengukuhan keupayaan logistik pengoperasian bagi mendepani sebarang kemungkinan situasi kecemasan.
Turut hadir, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Krisis Bencana) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, Bukit Aman, DCP Datuk M.V. Srikumar Madhavan Nair, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, DCP Zakaria Ismail serta ACP Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman, ACP Dr. Mazlan Ismail.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery




