Kereta Curi Ditemui Polis Berkas Seorang Lelaki
George
Town, 13 Okt - Polis menahan seorang lelaki susulan penemuan semula
kereta yang dilapor hilang di Seberang Perai Tengah, dalam kejadian di
kawasan letak kenderaan di sebuah pangsapuri di Jalan Sri Tanjung, Pulau
Tikus, malam semalam.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata kereta Proton Saga
yang sebelum ini dilapor dicuri itu dikesan oleh anggota polis trafik
yang memeriksa kenderaan di kawasan parkir tersebut pada pukul 10.32
malam.
Kereta
berwarna hitam itu didapati menggunakan nombor pendaftaran motosikal dan
selepas menunggu sejam, polis menahan seorang lelaki yang datang
membuka pintu kereta tersebut, katanya kepada pemberita, di sini hari
ini.
Beliau
berkata pemeriksaan lanjut polis mendapati nombor casis kereta sepadan
dengan nombor pendaftaran sebuah kereta yang dilapor hilang baru-baru
ini.
Menurut
Gan, siasatan ke atas suspek berusia 30 tahun itu mendapati dia
mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes dadah dan kesalahan mengikut
Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Suspek
yang tinggal di Tanjong Tokong itu juga positif dadah dan dia kini
ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379(A)(1) Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda
atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya.
Sumber : BERNAMA