
Keratan Akhbar Pilihan Sindiket Judi Online Kaut Untung Rm1 Juta Tumpas
Georgetown, 12 Ogos 2020 - Polis menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian di negeri ini yang dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM1 juta sebulan selepas sembilan lelaki ditahan dalam beberapa siri serbuan di Daerah Seberang Perai Tengah, di sini Julai lalu.
Tangkapan ke atas dalang sindiket bersama lapan lagi ahlinya yang berusia antara 19 hingga 29 tahun itu dijalankan dalam Operasi Dadu Limau Manis, selama lima hari mulai 25 Julai lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato’ Sahabudin Abd Manan berkata, operasi yang dilakukan di empat lokasi berasingan di kawasan Bukit Mertajam itu melibatkan tiga buah kondomium mewah dan sebuah premis perniagaan.
"Hasil risikan polis, kita berjaya membongkar aktiviti sindiket ini yang dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menyasarkan pelanggan dari wilayah utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
"Kumpulan sindiket yang berselindung di kondominium mewah ini didapati mampu mengaut keuntungan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sehari manakala anggaran sebulan adalah RM900,000 hingga RM1 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, semalam.
Katanya, hasil siasatan lanjut, sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menghantar sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) berkaitan iklan perjudian kepada nombor pelanggan secara rawak.
"Siasatan juga menemui sebanyak 16 akaun pelbagai transaksi bank yang digunakan oleh sindiket," tambahnya.
Sumber: Kosmo Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN