
Article
Keratan Akhbar Pilihan Pukul Untuk Didik Anak Bukan Alasan Kukuh
Kuala Lumpur, 2 Oktober 2023 - Kegagalan mengawal emosi, tekanan dan pengaruh dadah antara punca utama dikenal pasti menyebabkan seseorang menjadi pendera kana...
Kuala Lumpur, 2 Oktober 2023 - Kegagalan mengawal emosi, tekanan dan pengaruh dadah antara punca utama dikenal pasti menyebabkan seseorang menjadi pendera kanak-kanak serta remaja bawah umur.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan berkata, perkara itu berkait pelbagai isu lain yang membawa kepada tindakan di luar kawalan.
“Antara perkara memberi tekanan kepada suspek sehingga mendera adalah faktor kewangan, kurang ilmu keibubapaan dan kehamilan tak dirancang menyebabkan belum bersedia menjadi ibu bapa.
“Apabila berdepan situasi ini, ada ibu bapa ambil tindakan konon mahu melepaskan tekanan dengan mendera anak-anak mereka,” katanya.
ACP Siti Kamsiah berkata, ada suspek dalam kalangan ibu bapa beri alasan memukul anak-anak mereka kerana nakal dan mahu mendidik.
“Sudah menjadi lumrah jika ada dalam kalangan kanak-kanak itu nakal, namun itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk ibu bapa mendidik anak-anak dengan memukul.
“Kalau dalam konteks mendidik, ibu bapa perlu lihat umur anak dan pendekatan diambil.
“Adakah logik jika mahu didik anak berusia dua tahun dengan memukul hingga cedera sedangkan ketika usia itu kanak-kanak masih tidak lagi memahami apa yang berlaku?” soalnya.