
Artikel
Artikel Pilihan Polis Tumpas Sindiket Seludup Makanan Sejuk Beku Bernilai Lebih Rm2 Juta Di Sandakan
Sumber: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM dan BERNAMA
Sandakan, 2 Oktober 2023 - Wildlife Crime Breau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), menumpaskan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dari loji yang tidak diiktiraf, yang dianggarkan bernilai RM2,722,604, Khamis lalu.
Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan KDNKA Bukit Aman, CP Dato' Mohd Hishamudin Tahar berkata, serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian ringan di sini, merampas sejumlah 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha dan dada.
“Sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dewasa tempatan dan empat lelaki dewasa asing, telah diperiksa dalam serbuan di sini. Kes akan disiasat di bawah Enakmen Haiwan Sabah 2015.
“PDRM melalui Jabatan KDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam, serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.
Dato' Mohd Hishamudin berkata sejak Januari tahun ini, WCB/PSK telah berjaya melancarkan lapan serbuan di Sabah dan dua di Sarawak, terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,281,391.70.