
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Polis Tahan Keldai Senjata Api 11 Pati Cuba Bolosi Negara
Padang Besar, 13 Mei 2023 - Polis menahan seorang lelaki dipercayai ‘keldai'' senjata api dan merampas sepucuk pistol ketika cuba memasuki negara ini secara ha...
Padang Besar, 13 Mei 2023 - Polis menahan seorang lelaki dipercayai ‘keldai'' senjata api dan merampas sepucuk pistol ketika cuba memasuki negara ini secara haram bersama 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di Chuping, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, kumpulan PATI itu dikesan kira-kira jam 8 malam ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Kompeni D, Batalion 18 Briged Utara sedang melakukan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di kawasan berhampiran Pos C32 di Chuping.
Katanya, anggota yang menjalankan tugasan terserempak dengan PATI yang cuba memasuki negara ini di kawasan berbukit dan bersemak-samun.
“Tindakan pantas anggota berjaya menahan 12 PATI terdiri daripada tujuh lelaki, tiga wanita serta dua kanak-kanak perempuan yang berusia antara setahun hingga 48 tahun yang mana mereka dipercayai berasal dari Myanmar,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, di sini, semalam.