
Keratan Akhbar Pilihan Polis Rampas Harta Haram Dadah Lebih Rm500 Juta Sepanjang Tahun 2020
#WarAgainstDrugs
Kuala Lumpur, 2 April 2021 - Polis menyita tanah di 11 lokasi selain tujuh bangunan dan 1,109 kereta termasuk kenderaan mewah milik geng 'raja dadah Malaysia' sepanjang tahun lalu.
Ia sebahagian daripada harta dan aset milik mereka yang keseluruhannya berjumlah RM501,032,797.54 disita polis dan dianggap sebagai jumlah sitaan terbesar dalam sejarah.
Kejayaan itu diraih susulan kesungguhan polis menggempur dan menahan ribuan dalang sindiket dadah membabitkan 4,884 kes sepanjang 2020.
Namun di sebalik kejayaan itu, polis mengakui kesukaran mensabitkan 'raja dadah' atau 'El Chapo Malaysia' dengan hukuman gantung sampai mati susulan tiada bahan bukti bersama suspek ketika diberkas.
Difahamkan king pin dadah itu berperanan sebagai ketua yang mengkoordinasi sesuatu sindiket menyebabkan mereka sukar dibuktikan bersalah di mahkamah manakala semua aktiviti haram itu pula digerakkan ahli sindiketnya yang lain.
Ada antara mereka berselindung di sebalik gelaran kenamaan dan menjalankan aktiviti 'halal' sebagai ahli perniagaan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa serta masyarakat sekeliling sedangkan kekayaan luar biasa itu dikumpul hasil aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di dalam serta luar negara sehingga ada yang memiliki premis memproses dadah sendiri.
Taktik licik itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Dato’ Razarudin Husain ketika diwawancara eksklusif wartawan Harian Metro, baru-baru ini.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Harian Metro.
Sumber: Harian Metro