
Keratan Akhbar Pilihan Polis Buru Dua Suspek Bantu Siasatan Kematian Anggota Polis Dalam Nahas Jalan Raya
Johor Bahru, 2 November 2020 - Polis kini masih menjalankan siasatan dan mengesan kereta dinaiki dua suspek yang menyebabkan kematian seorang anggotanya dalam nahas jalan raya semalam.
Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau yakin suspek dapat diberkas dalam masa terdekat.
"Kita yakin mereka (suspek) akan dapat dikesan dalam masa terdekat. Ketika kejadian, anggota telah membuat laporan kepada Pusat Kawalan Gerakan Daerah, nombor pendaftaran kereta suspek semua sudah kita ada," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu MPV, Lans Koperal Mohd Khairul Musa, 32, turut cedera parah.
Kereta peronda (MPV) jenis Proton Waja dinaiki mereka bergesel dengan Perodua Myvi dalam kejadian di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau di sini awal pagi semalam.
Menurut CP Dato’ Ayob, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Kita juga akan lakukan siasatan ikut seksyen lain-lain selepas suspek berjaya ditangkap," ujarnya lagi.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Utusan Malaysia berikut.
Sumber: Utusan Malaysia