
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Pihak Main Sentimen Provokasi Kena Tindakan Kpn
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen dan provokasi melampa...
Ipoh, 15 Februari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen dan provokasi melampau, termasuk menerusi media sosial berkait keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
Sehubungan itu, Tan Sri Razaruddin berkata, tindakan berbentuk siasatan akan diambil berpandukan laporan dibuat oleh mana-mana pengadu yang terkesan dengan mainan sentimen atau provokasi susulan isu itu, termasuk melalui hantaran di media sosial.
“Sudah ada laporan (diterima polis) dan saya percaya ada lagi laporan akan menyusul selepas ini kerana perkara sebegini menggugat ketenteraman awam. Pada saya ia membawa ke arah mempertikaikan keputusan mahkamah itu sendiri.
“Berkenaan 3R, saya sudah beritahu dari dulu lagi agar jangan sentuh isu sensitif. Apabila isu yang mendatangkan kegusaran dan sensitif untuk agama, institusi diraja dan bangsa, jika ada laporan, kita akan siasat. Selama ini pun, memang itu tindakan yang kita ambil,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Tahun 2024 di Padang Kawad Kem Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, di sini semalam.