
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Pencapaian Koperal Azhar Amat Membanggakan
Shah Alam, 14 Januari 2025 - Menteri Sumber Manusia, Tuan Steven Sim Chee Keong mencuri tumpuan ramai apabila sempat meluangkan masa meraikan polis pengiringny...
Shah Alam, 14 Januari 2025 - Menteri Sumber Manusia, Tuan Steven Sim Chee Keong mencuri tumpuan ramai apabila sempat meluangkan masa meraikan polis pengiringnya, Koperal Muhammad Azhar Roslan yang baru bergelar siswazah.
Beliau berkata, pencapaian Koperal Azhar amat membanggakan meskipun mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan pengajian dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.
“Beribu-ribu tahniah buat Koperal Azhar yang sudah bergelar siswazah. Dia berjaya menamatkan ijazah dengan keputusan cemerlang.
“Daripada dulu tak dapat masuk universiti kerana kekangan kewangan, kerja keras setiap hari sambil ambil kursus di Universiti Utara Malaysia, sekarang sudah graduasi.
“Koperal Azhar polis pengiring saya. Saya berasa amat bangga sekali, jalan terus!" katanya menerusi hantaran di X pada Ahad.
Menerusi video berdurasi satu minit 19 saat yang dimuat naik beliau, rakan sekerja Kementerian Sumber Manusia juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Koperal Azhar.
Dalam pada itu, warga maya turut memuji tindakan menteri berkenaan yang tidak kekok menyantuni pekerja, bahkan sudi meluangkan masa untuk meraikan mereka.