
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Operasi Bersepadu Tahan 72 Pati Tanpa Dokumen Perjalanan Sah
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, operasi bersepadu bermula jam 3.30 pagi itu membabitkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)...
Shah Alam, 20 Julai 2024 - Daerah Klang Selatan ‘dijajah' beratus warga asing yang turut menjadi punca kacau ganggu dan jenayah kepada penduduk tempatan.
Ini terbukti apabila seramai 72 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan dalam operasi bersepadu, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, operasi bersepadu bermula jam 3.30 pagi itu membabitkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Tanah Klang.
Menurutnya, operasi bersepadu dijalankan susulan aduan awam serta peningkatan kes jenayah membabitkan warga asing di kawasan itu.
“Kawasan yang menjadi tumpuan semasa operasi adalah Jalan Johan Setia dan Pulau Indah di sini, yang memfokuskan kepada pemeriksaan warga asing tanpa dokumen perjalanan sah.
“Hasil operasi dijalankan, seramai 317 warga asing terdiri daripada 305 lelaki dan 112 perempuan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tapisan agensi berkaitan.
“Daripada jumlah itu, seramai 72 individu membabitkan 56 lelaki dan 15 perempuan warga Myanmar, Nepal, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Afrika ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya, semalam.