
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Op Khazanah 11 Penyu Hijau Dilapah Dan Dimasak
Malah, semua bangkai penyu hijau berkenaan ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dibiarkan mereput dengan perut terburai dibuang merata tempat.
Kota Kinabalu, 3 Oktober 2021 – Dilapah, dimasak sebelum isinya dikumpulkan di dalam karung. Itu nasib 11 penyu hijau yang ditemui ditinggalkan di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah semalam.
Malah, semua bangkai penyu hijau berkenaan ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dibiarkan mereput dengan perut terburai dibuang merata tempat.
Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Tuan Abdul Rani Alias berkata, semua bangkai berkenaan ditemui jam 6 pagi dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan bersama Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan.
Katanya, pasukan operasi turut menemui sebatang kait dipercayai digunakan untuk menangkap penyu.
Tuan Abdul Rani berkata, semua penemuan termasuk peralatan memasak kemudiannya dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan selanjutnya.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997." katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.