
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Mudah Panik Takut Punca Utama Wanita Jadi Mangsa Macau Scam Pengarah Jsjk
Petaling Jaya, 19 Mac 2022 - Mudah panik dan takut kena tahan antara punca wanita ramai menjadi mangsa Macau Scam iaitu 6,513 orang dengan nilai kerugian RM327...
Petaling Jaya, 19 Mac 2022 - Mudah panik dan takut kena tahan antara punca wanita ramai menjadi mangsa Macau Scam iaitu 6,513 orang dengan nilai kerugian RM327.78 juta dalam tempoh dua tahun ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun lalu, sebanyak 6,353 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM198.1 juta manakala 6,007 kes (RM289.1 juta) pada 2020.
Pengarah JSJK, CP Dato' Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam tempoh dua tahun tersebut, seramai 6,513 mangsa wanita manakala 5,846 adalah lelaki.
Menurut beliau, berdasarkan rekod PDRM, pekerja swasta adalah golongan profesion paling banyak yang ditipu apabila sebanyak RM175.44 juta membabitkan 6,275 orang dalam tempoh itu.
"Ia diikuti dengan pesara melibatkan 945 mangsa (RM110 juta), tiada pekerjaan (1,556 mangsa) dengan nilai kerugian RM76.9 juta dan 1,374 penjawat awam iaitu RM54.7 juta)
"Selain itu, terdapat mangsa daripada golongan guru, peguam, jurutera malah pengawal keselamatan juga turut diperdaya sindiket Macau Scam," katanya.
Sementara itu, Dato' Mohd Kamaruddin berkata, siasatan mendapati golongan wanita paling banyak diperdaya sindiket iaitu wanita berusia 21 hingga 30 tahun.
"Ini kerana mereka mudah panik dan takut apabila dimaklumkan akan ditangkap dan direman berkaitan kes-kes jenayah walhal semuanya palsu," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.