Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Keratan Akhbar Pilihan Masih Tak Percaya 16 Rakan Terkorban

Published: 18 Aug 2020 5.45 AM Updated: 17 Jul 2026 3.35 AM
Kota Tinggi, 18 Ogos 2020 - Insiden berdarah yang mengorbankan 16 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) di Keroh dekat Hulu Perak pada tahun 1968 masih segar dalam ingatan pesara polis, Sub Inspektor (Bersara) Mohd. Salleh Yunos.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/keratan-akhbar-pilihan-masih-tak-percaya-16-rakan-terkorban
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:26 MYT

Kota Tinggi, 18 Ogos 2020 - Insiden berdarah yang mengorbankan 16 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) di Keroh dekat Hulu Perak pada tahun 1968 masih segar dalam ingatan pesara polis, Sub Inspektor (Bersara) Mohd. Salleh Yunos.

Veteran berusia 86 tahun itu berkata, kejadian yang berpunca daripada satu serang hendap komunis pada 17 Jun 1968 menimpa sekumpulan anggota platun 11, Kompeni C dari Batalion Pertama Pasukan Polis Hutan (BN 1 PPH) Ulu Kinta.

Kejadian itu turut menyebabkan 17 anggota lain cedera parah ketika mereka sedang mengiringi konvoi bekalan ke sempadan Malaysia-Thailand dekat Betong.

Menurut SI Mohd. Salleh, peristiwa itu meninggalkan kesan besar kerana platun diketuai beliau yang sepatutnya mengiringi konvoi berkenaan tetapi ia telah ditukar pada saat akhir.

Beliau yang ketika itu berpangkat sarjan berkata, disebabkan pertukaran itu, pasukannya iaitu platun 12 Kompeni C BN 1 PPH kekal meneruskan operasi di Kelantan.

"Lokasi serang hendap iaitu laluan Keroh-Betong merupakan jalan utama pasukan keselamatan termasuk anggota PPH untuk berulang-alik dari pekan Keroh menuju ke sempadan Malaysia-Thailand.

"Semasa menerima mesej (berita) insiden tersebut daripada markas, saya bagaikan tidak percaya kerana bilangan yang terkorban cukup ramai. Itulah perjuangan sebenar kami dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya ketika ditemui Kosmo di rumahnya di Taman Kota Jaya di sini baru-baru ini.

Cerita SI Mohd. Salleh lagi, dia yang menyertai polis pada tahun 1952 telah menempuh pelbagai pancaroba bermula dari era Darurat, Konfrontasi, pemberontakan komunis di Sarawak serta ancaman lanun di Sabah.

"Semasa Konfrontasi, pasukan saya dihantar mengepung sekumpulan tentera Indonesia yang bersembunyi di sebuah kampung di Pengerang. Kononnya musuh dikatakan kebal dan tidak lut peluru.

"Bagaimanapun, selepas dua minggu dikepung, musuh menyerahkan senjata kerana kehabisan makanan. Dalam peperangan, tiada istilah kebal kecuali ajal yang belum sampai," ujarnya.

Beliau yang merupakan antara anggota pengasas PPH bersara dengan pangkat SI pada 1989 di BN 9 PPH Kem Bakri, Muar.

Sumber: Kosmo

Image may contain: one or more people, text that says 'Veteran PPH kongsi kisah getir pertahan negara 'Masih tak percaya 16 rakan terkorban' SALL
ArticlePublished 18 Aug 2020 5.45 AMUpdated 17 Jul 2026 3.35 AM