
Article
Keratan Akhbar Pilihan Koperal Polis Cedera Dilibas Kapak
Gerik, 19 Oktober 2023 - Seorang anggota polis berpangkat Koperal cedera akibat dilibas dengan kapak oleh seorang lelaki yang tiba-tiba menyerangnya dan seoran...
Gerik, 19 Oktober 2023 - Seorang anggota polis berpangkat Koperal cedera akibat dilibas dengan kapak oleh seorang lelaki yang tiba-tiba menyerangnya dan seorang lagi anggota di kawasan kebun kelapa sawit di Felda Bersia di sini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari kelmarin itu, anggota polis berkenaan cedera di bahagian bahu serta bengkak di kepala ketika bergelut untuk cuba menangkap suspek berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika Koperal polis itu bersama seorang Lans Koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik menjalankan operasi berkenaan sekitar 11.30 pagi.
Katanya, ketika tiba di lokasi mereka terserempak dengan suspek yang sedang menunggang motosikal Honda EX5.
“Suspek kemudiannya memberhentikan motosikalnya lantas memegang masing-masing sebilah parang dan kapak di kedua-dua belah tangannya.
“Suspek turun dari motosikal dan membuang parang ke tanah kemudiannya meluru ke arah anggota polis untuk menyerang mereka menggunakan kapak.
“Kedua-dua anggota polis terbabit cuba menangkap suspek yang bertindak sangat agresif sambil melibas kapak sebelum libasan terkena seorang anggota,” katanya dalam satu kenyataan.