
Keratan Akhbar Pilihan Kekosongan Perjawatan Polis Tidak Diisi
Kuala Lumpur, 10 September 2020 - Kekurangan perjawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai 'kritikal' jika diukur dari sudut nisbah polis dengan penduduk di negara ini yang jauh ketinggalan dengan standard piawaian ditetapkan Polis Antarabangsa (Interpol) iaitu 1: 250.
Ini berlaku terutamanya di bandar-bandar besar seperti di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang hanya mempunyai 1,648 perjawatan polis namun jumlah penduduk hampir mencecah dua juta orang iaitu nisbah polis dengan penduduk 1:1,213.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM sangat memerlukan pertambahan perjawatan kerana populasi penduduk semakin ramai serta kewujudan premis kediaman baharu.
"Apabila buka perumahan baharu, balai tidak ada dan penduduk mengadu masalah sukar mahu membuat laporan. Jadi, pemaju beri premis kedai untuk dijadikan balai sementara tetapi kami pula kekurangan kekuatan untuk ditempatkan.
"Kerja polis sangat banyak, belum lagi siapa yang perlu kendalikan saman, angkat mayat, cegah lumba haram dan lain-lain. Belum lagi mereka yang berpencen, jadi kami amat memerlukan pertambahan perjawatan dalam PDRM," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar Utusan Malaysia seperti berikut.
Sumber: Utusan Malaysia